Sumareh tak boleh main tanpa sijil perpindahan

KUANTAN: Tanpa memiliki sijil perpindahan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Mohamadou Sumareh tidak mungkin boleh beraksi dengan pasukan baharu walaupun kontrak bermain sudah ditandatangani.



Itu syarat yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang perlu diikuti semua pemain profesional, dan kegagalan mematuhi peraturan berkenaan pasti mengundang padah pada pemain terbabit yang boleh dikenakan denda dan penggantungan.

Menurut bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail, tidak ada makna Sumareh diterima beraksi dengan pasukan baharu sedangkan dia masih tidak memiliki sijil perpindahan yang dikeluarkan PBNP sebagai bukti kebenaran atau pelepasan berpindah.





Katanya, PBNP masih lagi berkuasa terhadap pemain berkenaan, dan apa juga alasan, Sumareh masih belum boleh beraksi dengan pasukan baharu selepas bertindak meninggalkan skuad Tok Gajah.

“Saya berpendapat tindakan Sumareh tidak mengikuti sesi latihan selama sebulan tanpa sebab sudah terbukti dia bersalah, sebagai pemain tindakan berkenaan kesalahan dianggap berat dan boleh dikenakan tindakan.

“Bagaimanapun, saya lihat PBNP masih lagi berlembut dan bertolak ansur dengan tidak mengenakan sebarang hukuman terhadap pemain terbabit, mungkin peluang mohon maaf disediakan oleh persatuan.





“Saya berpendapat sudah tiba masanya PBNP bertindak tegas sebagai pengajaran kepada Sumareh dan pemain lain supaya tidak melakukan tindakan sama,” katanya di sini hari ini.

Jamal Nasir berkata, tidak mustahil Sumareh mendapat nasihat daripada pihak yang masih kurang arif dengan peraturan serta undang-undang membabitkan pemain profesional yang beraksi dalam saingan bola sepak profesional.

Semalam, Sumareh mengumumkan menyertai kelab dari Thailand, Police Tero FC selepas membuat keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung.