‘SuperMokh’ dalam kelompok tiga terbaik dunia

Kuala Lumpur: Siapa sangka pemenang lima kali gelaran Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo hanya dipisahkan 16 gol dengan penyerang legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang merekodkan 86 gol sepanjang beraksi di peringkat antarabangsa.

Jumlah gol itu turut meletakkan Mokhtar atau lebih popular dengan panggilan ‘SuperMokh’ dalam kelompok tiga penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan penggempur Portugal itu di tangga kedua menerusi 101 gol sementara ayam tambatan Iran, Ali Daei dengan 109 gol.




Malah, catatan itu juga menyaksikan jumlah gol Mokhtar lebih banyak berbanding Lionel Messi pada peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Argentina dengan 70 gol saja.

Rekod itu juga lebih baik berbanding dua legenda dunia, Pele (Brazil) dan Diego Maradona (Argentina) yang dianggap pemain terbaik sepanjang zaman.

Statistik laman web onefootball.com itu turut mengejutkan anak lelaki Mokhtar, Mohd Reza yang tidak menyangka ayahnya adalah antara penyerang paling prolifik dunia.

“Sejak statistik itu keluar, ramai yang hantar tunjuk ayah saya dalam senarai tiga penjaring terbanyak perlawanan antarabangsa, memang mengejutkan.

“Saya sendiri tak tahu berkenaan jumlah gol itu dan paling terkejut antara tiga pemain terbaik dunia. Tapi tetap berbangga kerana itu menunjukkan pencapaian ayah sentiasa dikenang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Mokhtar yang meraih kap pertama di peringkat antarabangsa ketika berusia 19 tahun pada 1972 sewaktu menentang Sri Lanka adalah antara penyerang yang paling digeruni di Asia pada lewat tahun 70-an dan 80-an kerana kehandalannya menjaringkan gol.





Pencapaian gemilang tonggak kelahiran Kuala Lumpur itu sudah tentunya ketika membantu Malaysia meraih pingat gangsa di Sukan Asia Tehran, Iran pada 1974 selain memenangi Pesta Bola Merdeka sebanyak empat kali 1973, 1974, 1976 dan 1979.

Arwah turut beraksi di Sukan Sea dengan membantu pasukan kebangsaan merangkul pingat emas di temasya yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1977 dan Indonesia pada 1979.

Sementara itu, di peringkat domestik, Mokhtar banyak menghabiskan kariernya bersama pasukan Selangor dari 1972-1987 dan menjaringkan 218 gol buat Red Giants dalam 375 penampilan.

Kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia sebanyak 10 kali juga adalah hasil sentuhan Mokhtar.





Jelas Reza, meskipun ada yang mempertikaikan statistik itu, ia membuktikan ayahnya sentiasa memberikan aksi terbaik dalam setiap aksi biarpun bertemu pasukan yang kurang ternama.

“Walaupun ada yang mengatakan gol itu mungkin hanya lawan pasukan di Asia saja dan bukan pasukan seperti di Eropah atau Amerika Latin, ia membuktikan ayah saya sentiasa berikan aksi terbaik setiap kali
bermain untuk negara. Sebagai anak, saya bangga dengan pencapaian arwah,” katanya.