FAM siasat mutu pengadilan Tarmizi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta mana-mana pasukan yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan mengemukakan bantahan atau aduan rasmi kepada badan induk itu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan perkara itu penting bagi membolehkan pihak Jawatankuasa Pengadil melakukan penilaian lebih terperinci terhadap sebarang aduan yang dibuat.



Beliau berkata, badan induk itu sentiasa terbuka menerima apa saja aduan berkaitan mutu pengadilan kerana memahami pengadil juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Mungkin pengadil tahu apa keputusan yang mereka buat di atas padang, tapi saya juga tidak menolak pengadil boleh buat kesilapan. Jadi, kalau ada bantahan, Jawatankuasa Pengadil akan nilai betul ke tidak pengadil itu buat keputusan.

“Pada asasnya kita terbuka menerima aduan atau bantahan jika ada pasukan yang rasa tidak berpuas hati dan pada masa yang sama FAM mahu memastikan mutu pengadilan kita terus meningkat ke tahap yang lebih baik.




“Kita dalam menguruskan liga mesti nak mutu pengadilan setiap tahun meningkat kepada tahap yang lebih baik. Selagi ada bantahan, selagi itu kita akan perbaiki,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pihak yang mempertikai mutu pengadilan Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim ketika aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), kelmarin.

Selain dikritik hebat peminat di media sosial, isu berkenaan turut mendapat perhatian daripada mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.





Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mendakwa kualiti dipamerkan pengadil pada perlawanan itu sebagai teruk dan gagal mengawal perlawanan dengan baik.

Difahamkan, Jawatankuasa Pengadil juga akan melihat semula video perlawanan berkenaan bagi menilai sama ada keputusan tepat atau tidak dibuat Wan Mohamad Tarmizi dalam beberapa insiden ketika aksi itu.