Neymar sekarang jadi budak ‘Puma’

Paris: Neymar menandatangani perjanjian dengan Puma, syarikat Jerman itu mengumumkan perkara berkenaan hari ini, dua minggu selepas bintang Brazil itu meninggalkan Nike yang sudah lama menajanya.



“Selamat datang ke keluarga baru @neymarjr #KingIsBack,” kata Puma di laman sosial Twitter bersama gambar penyerang Paris St-Germain itu, yang mengenakan pakaian gergasi pengeluar sukan itu.

Pemain termahal dunia itu mengesahkan peranan peranan baru sebagai penghias poster Puma dalam satu surat yang dimuatnaik di media sosial.





“Saya membesar dengan melihat video legenda bola sepak seperti Pele, Cruyff, Eusebio dan Maradona, di mana setiap seorang beraksi dengan memakai jenama Puma.

“Disebabkan perkara ini, bermula dari sekarang, saya diberi penghormatan untuk bersatu dengan jenama ini yang banyak membantu legenda bola sepak menjadi di mana mereka berada sekarang,” kata Neymar.




Sama ada Neymar atau Puma kedua-duanya tidak mendedahkan tempoh atau jumlah kontrak berkenaan.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pemain berusia 28 tahun itu akan menandatangani kontrak dengan Puma selepas tidak lagi bersama Nike, iaitu syarikat yang menajanya sejak dia berusia 13 tahun.