Hamidin diminta kekal terajui MFL

KUALA LUMPUR: Pemegang taruh bola sepak tempatan terus memberikan kepercayaan kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk terus kekal menerajui organisasi itu.


Genap setahun memegang jawatan itu, beberapa pencapaian yang diraih menjadi bukti terhadap kredibiliti Hamidin yang juga Presiden Bolasepak Malaysia (FAM) dan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad menyifatkan Hamidin memiliki daya kepemimpinan yang hebat.

“Selepas setahun Hamidin menjadi presiden MFL, beberapa perkara berjaya dilaksanakan seperti menarik kembali beberapa penaja untuk menaja Liga Malaysia (Liga M) selain membawa masuk beberapa penaja baharu.





“Pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP) juga berjaya dilengkapkan semua pasukan sekali gus memberi petanda baik kepada Liga M. Ini antara usaha MFL yang mahu melihat Liga M setanding liga lain di dunia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mengakui betapa rakan kongsi liga mahu supaya Hamidin terus kekal menjadi ‘ketua’ mereka pada masa akan datang.

“KLFA mengharapkan Hamidin dapat terus menerajui MFL dan memberi idea baharu untuk memajukan liga bola sepak di negara ini,” katanya.





Nada sama dikongsi Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah yang melihat Hamidin sememangnya individu yang tepat untuk membawa MFL dan juga saingan Liga M ke tahap yang lebih tinggi.

“Tahniah atas setahun sebagai Presiden MFL dan beliau sememangnya sangat meminati dan komited membangunkan bola sepak di Malaysia. Beliau juga sangat mudah untuk didekati.

“Beliau dapat menyatukan presiden persatuan bola sepak dengan hati yang tenang dan sabar selain berusaha mendapatkan penajaan bagi Liga M,” katanya.