Sultan Selangor beli Kasut Emas Khalid Jamlus

KUALA LUMPUR: Anugerah Kasut Emas Liga Perdana yang dimenangi bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus pada musim 2002 akhirnya tiba di ‘tempat’ yang sepatutnya.



Bukan di tangan individu perseorangan, sebaliknya anugerah berprestij yang dimenanginya ketika beraksi bersama Perak itu akan menjadi milik Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah, Klang.

Khalid berkata, tidak ada lagi tempat lebih layak untuk menjadi ‘rumah baharu’ anugerah terbabit dan ia boleh disifatkan sebagai pilihan yang terbaik apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membelinya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, bekas pembantu jurulatih PDRM itu mengakui terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang jelas menghargai sumbangannya yang sebelum ini pernah menabur bakti bersama skuad The Red Giants.

“Ampun Tuanku, walaupun perjuangan saya bersama Selangor tidak begitu lama tetapi Tuanku masih menghargai jasa saya bersama Selangor dan pasukan kebangsaan.





“Saya cukup terharu. Daulat Tuanku,” katanya.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office semalam, baginda membeli kasut berkenaan pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.




Malah, baginda juga berkenan meletakkan trofi Kasut Emas itu di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor dengan majlis penyerahan ringkas sudah berlangsung di Istana Alam Shah, semalam.

Sebelum ini, Khalid melepaskan anugerah yang dimenanginya 18 tahun lalu itu atas faktor kewangan selepas tidak memiliki pekerjaan selama tiga tahun dan mendapat tawaran sebanyak RM99,999 untuk kasut itu daripada seorang individu yang hanya dikenali sebagai Tuah Nice.

Khalid menjelaskan individu terbabit bersetuju dengan harga yang diletakkannya namun hanya akan mengambil anugerah itu selepas pulang ke tanah air memandangkan dia ketika itu sedang berada di Australia.