Gareth Bale tiba di Spurs, Perlu sebulan untuk beraksi

PENYERANG Real Madrid, Gareth Bale tiba di padang latihan Tottenham Hotspur dekat Enfield bagi menandatangani kontrak kepulangan ke kelab lamanya itu.

Bale, 31, yang juga pemain kebangsaan Wales dilaporkan bakal menyertai semula Spurs secara pinjaman.



Bale menyertai Spurs dari Southampton pada 2007 sebelum menarik perhatian kelab gergasi Sepanyol dengan perpindahan mencatat rekod dunia £85 juta (RM452 juta) pada 2013.

Dia meledak lebih dari 100 gol buat Real dan memenangi empat trofi Liga Juara-Juara di kelab itu.

“Sehingga saya diberitahu Bale adalah pemain Tottenham, saya masih memikirkan dan berasa malah menghormati fakta bahawa dia adalah pemain Real Madrid,” kata bos Spurs, Jose Mourinho.

Dalam pada itu Tottenham dilaporkan menerima berita buruk mengenai Gareth Bale ketika penyerang Wales itu sudah menunggu lama untuk pulang ke kelab berkenaan.





Pemain berusia 31 tahun itu dan Sergio Reguilon kedua-duanya dilihat di padang latihan Tottenham semalam ketika mereka menantikan detik perpindahan ke kelab Liga Perdana itu.

Bale bagaimanapun mengalami kesan akibat kecederaan kecil pada bahagian lutut ketika tugasan antarabangsa bersama Wales awal bulan ini.

Dan kini dilaporkan bahawa penyokong Spurs ‘perlu menunggu sebulan’ untuk melihat Bale kembali memakai jersi Tottenham.





Ia bermakna Bale akan terlepas jadual padat skuad kendalian Jose Mourinho untuk beberapa minggu akan datang.

Bale akan diletakkan di bawah program kecergasan khusus bagi mempercepatkan pemulihan dan kesan akibat kurangnya perlawanan sejak kebelakangan ini.

Dia hanya bermain 215 minit bersama kelab dan negara sejak Februari. – Agensi