9 pasukan dalam bahaya

KUALA LUMPUR: Tarikh tutup pemisahan dan penswastaan kelab bola sepak (FC) pada 30 September ini tidak akan dianjak, itu bermakna sembilan pasukan yang masih belum melengkapkan proses penswastaan kini dalam bahaya.

Berbaki tujuh hari sebelum tarikh tutup, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan hanya 12 pasukan sudah melengkapkan penswastaan FC diketuai Johor Darul Ta’zim (JDT).




Turut berada dalam ‘zon selamat’ Sarawak United, Petaling Jaya City, ATM, Negeri Sembilan, Kelantan United, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Sembilan pasukan yang gagal melengkapkan penswastaan FC bakal disingkirkan dari Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan saingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Tahniah kepada 12 pasukan atas kesungguhan dan kerja keras yang ditunjukkan pengurusan tertinggi serta pegawai mereka untuk menyerahkan semua dokumen yang diperlukan dalam melengkapkan proses penswastaan FC.

“Enam pasukan masih dalam proses melengkapkan penswastaan. Selangor, Kelantan dan Felda United di peringkat akhir proses.

“Pahang, Pulau Pinang dan Kedah di peringkat pertengahan proses,” kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd. Firdaus Mohamed dalam satu kenyataan akhbar hari ini.





Tiga lagi pasukan iaitu PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada di peringkat awal proses penswastaan FC.

“Surat peringatan terakhir telah dihantar kepada pasukan-pasukan ini semalam.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan berkenaan tidak akan diterima menyertai pertandingan kelab di peringkat AFC jika layak, selain saingan domestik iaitu Liga Super dan Perdana musim depan.





“Ingin ditekankan di sini, tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC.

“Dengan ini, FAM sentiasa terbuka untuk memberi bantuan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir tersebut,” kata Mohd. Firdaus.