Bayern Munich julang Piala Super UEFA

BUDAPEST: Pemain veteran, Javi Martinez mengakui dia bagaikan bermimpi apabila sekali lagi mencipta sejarah buat Bayern Munich selepas tandukannya membantu kelab itu menewaskan Sevilla 2-1 dalam aksi Piala Super UEFA, awal pagi tadi.

Selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-120 tujuh tahun lalu ketika Bayern menjuarai Piala Super UEFA 2013 dengan mengatasi Chelsea menerusi penentuan penalti di Prague, kali ini Martinez meledak gol minit ke-104 di Puskas Arena bagi menghadiahkan kejuaraan keempat buat juara Liga Juara-Juara itu tahun ini.




Kedua-dua kelab itu bermain buat kali pertama di hadapan 15,810 penonton sejak pandemik COVID-19 melanda Eropah pada Mac lalu.

Dalam perlawanan itu, Sevilla terlebih dahulu di depan selepas Lucas Ocampos menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-13 tetapi Leon Goretzka berjaya menyamakan kedudukan buat Bayern pada minit ke-34.

Martinez, 32, yang dibawa masuk pada babak kedua perlawanan nyata tidak mengecewakan apabila dia menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan Bayern.





Jurulatih Bayern, Hansi Flick memuji persembahan ditunjukkan anak buahnya yang berjaya mengawal tekanan dengan baik.

Gol kemenangan yang dijaringkan Martinez menyaksikan Bayern mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam 23 perlawanan sejak Februari lalu.





“Setiap kali saya menyarung jersi Bayern, saya sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik dan saya buktikannya sekali lagi hari ini (awal pagi tadi).

“Saya sentiasa mahu membantu pasukan dengan menjaringkan gol. Ia mimpi menjadi kenyataan.

“Saya sangat gembira dapat memenangi trofi ini buat kali kedua selepas turut menjaringkan gol pada 2013,” kata Martinez.

Selepas turut memenangi gelaran Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara, Bayern berpeluang untuk meraih kejuaraan kelima tahun ini apabila mereka melayan kunjungan Borussia Dortmund di Munich bagi aksi Piala Super Jerma, Rabu ini. – AFP



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *