Skuad Melaka United perlu jalani kuarantin

MELAKA: Pemain pasukan Melaka United (MU) yang pulang dari Sabah selepas bertemu skuad Tambadau pada perlawanan Liga Super malam tadi turut tidak dikecualikan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan negeri secara tegas akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) merangkumi semua aspek bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19.

“Siapa sahaja yang pulang dari Sabah perlu menjalani HSO termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Saya yakin tiada pengecualian kerana SOP ini terpakai untuk semua pihak,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Hemodialisis Komuniti Melaka di Klinik Kesihatan Cheng di sini hari ini.





Mengulas lanjut, Rahmad berkata, perkara itu selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah agar semua individu yang tiba dari Sabah akan disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa bermula semalam hingga 10 Oktober depan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesan tiga kluster baharu iaitu dua di Sabah dikenali kluster Buang Sayang dan kluster Kg Sakong, sementara di Kuala Lumpur pula dikenali Kluster Setapak.





Kluster Buang Sayang dikesan di Sipitang, Sabah, dengan kes indeks (kes ke-10265) mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang dari 7 hingga 20 September.

Sementara itu, Rahmad berkata, seramai 39 kontak rapat membabitkan dua kes baharu yang disahkan positif Covid-19 di Jasin sudah dikenal pasti dan telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Ujarnya, kesemua mereka kini sedang menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan.