Durakovic puji semangat juang Perak

KUANTAN: Pengendali Perak Mehmet Durakovic memuji semangat juang tinggi yang dipersembahkan pemainnya selepas bangkit mengikat Pahang 3-3 pada saingan Liga Super, malam tadi.



Menurutnya, kebangkitan itu membuktikan anak buahnya memiliki motivasi tinggi dan tidak mudah menyerah kalah walaupun pada satu ketika ketinggalan 3-0.




“Saya puji komitmen semua pemain. Inilah pemain yang saya ada kerana mereka memberikan 100 peratus terhadap pasukan dan berjaya untuk memastikan Perak tidak tewas.

“Pada masa sama, saya katakan kepada pemain misi pasukan untuk menamatkan kedudukan kedua Liga Super dan layak bersaing ke Piala AFC dan mereka bangkit dengan prestasi terbaik.




“Saya gembira dengan semangat pemain yang berjaya mempamerkan kebangkitan pada babak kedua yang jelas berbeza daripada segi permainan ketika ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama,” kata Durakovic.

Pada perlawanan itu, tiga gol Perak dijaringkan J Partiban pada minit ke-47 dan 90 manakala satu lagi gol dijaringkan Shahrel Fikri Md Fauzi (m-84).

Gol Pahang pula hasil ledakan R Dinesh pada minit kelapan, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (m-26) dan Ivan Carlos (m-41).

Mengulas jaringan yang dilakukan Partiban dan Shahrel Fikri, Durakovic gembira dengan prestasi kedau-dua pemain itu yang memastikan Perak sekurang-kurangnya membawa pualng satu mata.




“Biarpun ketinggalan tiga gol, saya sememangnya percaya pemain mampu bangkit dan semangat juang mereka memastikan Perak dapat mengikat Pahang,” katanya.