Nama Bos Gaurus cuma sementara

IPOH: Penyokong Perak tidak perlu panik dengan masalah teknikal yang dihadapi membabitkan penggunaan nama Perak FC selepas proses penswastaan membabitkan Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) selesai.




Menteri Besar yang juga Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara membabitkan isu nama Perak yang sudah diwartakan untuk digunakan pada Perak FC akan dibincangkan pada Mesyuarat Exco kerajaan negeri esok.

“Untuk guna nama Perak memerlukan kepada kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK). Nama Bos Gaurus FC yang digunakan sementara akan digantikan dengan Perak FC selepas ia diluluskan.




“Peminat jangan panik dan mereka boleh terus menggunakan nama Perak FC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pafa, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan kerajaan negeri untuk mengekalkan nama ‘Perak’ yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

Jelasnya, ketika ini terdapat sedikit masalah teknikal yang mana kegunaan nama Perak sudah diwartakan, ini bermaksud pasukan Perak harus membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menggunakan nama Perak.




Ahmad Faizal berkata, Pafa akan menyegerakan pendaftatan Perak FC menggunakan nama Bos Gaurus FC terlebih dahulu bagi mempercepatkan urusan.

“Apa pun peminat dan rakyat negeri Perak jangan bimbang kerana saya sendiri sebagai peminat tegar bola sepak Perak sudah tentu tak akan guna nama lain selain Perak,” katanya.

Katanya, apa yang penting, Perak perlu memastikan kemenangan pada perlawanan akhir yang akan dihadapi bagi mendapatkan slot ke Piala AFC 2021.