[VIDEO] Safawi beraksi buat skuad B-23 Portimonense SC

KUALA LUMPUR: Bukan pasukan utama sebaliknya penyerang kebangsaan, Safawi Rasid meraih penampilan pertama di bumi Eropah bersama pasukan Bawah 23 (B-23) Portimonense SC terlebih dahulu awal pagi tadi.


Perkembangan itu dapat disaksikan menerusi laman Instagram rasmi pasukan itu yang turut memaparkan gambar pemain berusia 23 tahun itu beraksi menentang pasukan B-23 Sporting CP.

Pada aksi terbabit, Portimonense mendahului terlebih dahulu pada minit ke-17 sebelum Rafael Fernandes mengikat kedudukan untuk Sporting CP pada minit ke-28.





Namun dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Duarte Carvalho dan Nicolai Skoglund pada babak kedua memaksa Portimonense SC akur tewas 3-1.

Situasi ini menyaksikan Safawi hampir pasti tidak akan diturunkan untuk perlawanan skuad utama menentang CS Maritimo malam ini.

Justeru, penyokong bola sepak tempatan terpaksa menunggu lagi untuk melihat kelibat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memperagakan ‘taringnya’.




Mungkin belum tiba masanya untuk Safawi beraksi bersama pasukan utama memandangkan dia baru sahaja menyertai sesi latihan pasukan itu dalam masa singkat.

Bagaimanapun, laporan media Portugal menyebut prestasi Safawi sememangnya cemerlang pada sesi latihan dan berjaya menarik minat barisan kejurulatihan pasukan itu.