Tempat Bale belum terjamin – Mourinho

LONDON: Gareth Bale dijangka akan membuat kemunculan kali kedua bersama Tottenham berdepan West Ham malam ini namun Jose Mourinho mendakwa tempat buat bintang Wales itu masih belum terjamin ketika dia mendedahkan skuad baharunya.


Bale kembali ke utara London menerusi pinjaman selama setahun dari Real Madrid selepas melalui tujuh tahun turun naik sejak menyertai gergasi Sepanyol itu dengan rekod dunia ketika itu.

Dia menjaringkan gol dalam dua final Liga Juara-Juara ketika Madrid menang empat kali kejohanan berkenaan dalam lima tahun pertamanya di kelab itu.

Namun persembahan Bale juga menyebabkan banyak kritikan ketika dia bergelut dengan kecederaan dan jangkaan tinggi di Sepanyol.





Mourinho berkata semalam bahawa Sergio Reguilon, yang juga berpindah dari Madrid ke Spurs bulan lalu menyatakan bahawa Bale tampak “pemain berbeza” daripada individu pemalu di ibu kota Sepanyol itu.

Namun timbul persoalan sama ada dia boleh mencipta kembali kejayaan dikecapi ketika bersama Tottenham, apabila dia menjadi antara pemain terbaik dunia.




“Kami ada skuad dengan setiap pemain perlu bertarung dan bermain dengan sangat baik bagi mendapatkan tempat dalam pasukan,” kata Mourinho.

“Kami ada skuad yang sangat bagus, sangat kuat. Kami ada banyak pilihan kerana itu saya enggan berkata pemain ini adalah pilihan utama.” – AFP