Sumareh ledak gol pertama bersama Police Tero

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh tidak menunggu lama untuk menunjukkan taring apabila meledak satu gol pada penampilan pertama bersama kelab baharunya, Police Tero FC.

Jaringan Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara berjaya membantu kelab Thailand itu meraih kemenangan 4-3 dalam aksi persahabatan menentang Uthai Thani FC, semalam.




Selain jaringan Sumareh, kemenangan Police Tero turut dibantu dua jaringan daripada penyerang, Arthit Boodjinda dan satu gol Nattaphol Sukchai.

Aksi cemerlang pada penampilan pertama itu sudah pasti memberi keyakinan kepada barisan kejurulatih kelab itu untuk menurunkan Sumareh dalam aksi liga yang akan datang.




Malah, kejayaan meledak satu gol itu juga menjadi petanda bahawa Sumareh pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan pasukan itu.

Pada perlawanan Thai League 1 yang akan datang, Police Tero akan menentang Muangthong United di laman sendiri dan Sumareh mungkin diturunkan pada perlawanan itu, Ahad ini.





Sumareh baru sahaja menyertai latihan bersama pasukan itu beberapa hari lalu selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu selepas tiba di Bangkok.

Malah, dia turut dilaporkan kagum dengan sistem latihan yang diterapkan oleh kelab Police Tero.