Pengurusan NFDP selalu campur tangan – Teong Kim

Kuala Lumpur: Selepas menyepi seketika dalam arena bola sepak negara, bekas pengarah projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim mengejutkan peminat sukan nombor satu negara apabila mendakwa wujud kepincangan dalam program itu, sekali gus gagal membentuk pemain muda terbaik.




Menerusi program bula bicara Bola-Bola Show kendalian peminat tempatan baru-baru ini, Teong Kim mendedahkan pengurusan NFDP sering campur tangan walaupun tidak mempunyai pengetahuan dalam bola sepak.

“Pihak dalaman NFDP campur tangan dalam kerja saya. Saya berasa sedih, kerana mereka orang yang tidak tahu pasal bola sepak, dan pembangunan pemain bola sepak, maka hubungan kami menjadi panas.





“Sebelum itu pada 2014, 2015 dan 2016 apabila kami menang di sana sini, termasuk kejohanan bawah 14 tahun Piala Iber, tetapi apabila keputusan tidak memihak kepada kami di Korea pada 2017 tidak silap saya, termasuk tewas kepada pasukan yang bersaiz fizikal lebih besar, di situlah mereka yang dahulunya di belakang saya tidak lagi memberi sokongan kerana kami tidak lagi mencatat kemenangan.

“Saya sudah jangka perkara ini berlaku, memang mentaliti orang yang bergiat dalam sukan di Malaysia, selagi kita menang, mereka sokong, bila kalah, tuding jari, ini salah itu salah,” katanya.





Sementara itu, menceritakan lebih lanjut berkaitan penubuhan NFDP, beliau menyerahkan kertas kerja dan perancangan untuk dilaksanakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bermula 2014.

Pada masa sama, beliau turut menulis surat kepada Khairy dengan menyatakan hasrat membantu membangunkan bola sepak Malaysia. – Harian Metro