Spurs tawar gaji RM1.08 juta seminggu buat Son

LONDON: Tottenham menawarkan Son Heung-Min kontrak lumayan secara keseluruhan bernilai 60 juta pound (RM325.4 juta), menurut laporan Football Insider.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu sedang bekerja keras untuk memastikan penyerang Korea Selatan tersebut melanjutkan kontrak selepas jendela perpindahan domestik sudah pun berakhir.



Sumber Spurs memberitahu Football Insider, pemain berusia 28 tahun itu ditawarkan gaji 200,000 pound seminggu (RM1.08 juta) selain tambahan bonus prestasi.

Ia sekali gus bakal menyaksikannya muncul pemain menerima gaji tertinggi di kelab itu bersama penjaring terbanyak dan kapten, Harry Kane.

Kontrak lanjutan lima tahun bernilai 52 juta pound (RM282 juta) itu juga hampir sekali ganda daripada gaji dalam kontrak semasa Heung-min yang berakhir pada 2023.




Perbincangan antara Heung-min dan pengurusan Tottenham sedang berjalan. Keputusan akhir dijangka diketahui hujung tahun ini.

Daniel Levy dan ahli lembaga Tottenham mahu mengelak situasi yang menyaksikan barisan pemain bintang meninggalkan kelab itu seperti dilakukan oleh Christian Eriksen musim lalu.

Reputasi Son semakin meningkat di Liga Perdana selepas mempamer aksi cemerlang pada awal musim ini.





Dia yang membuat 89 penampilan bersama skuad kebangsaan Korea Selatan, sudah pun menjaringkan sembilan gol dalam lapan perlawanan. Terbaharu Heung-min membantu kelabnya melakar kemenangan 3-0 ke atas LASK pada saingan Liga Europa.

Sejak menyertai Spurs dari Bayer Leverkusen pada 2015, Heung-min sudah beraksi 237 kali buat Tottenham dan menjaringkan 94 gol serta mencipta 51 gerakan gol. – AGENSI