Gaji RM1.89j seminggu tapi mengecewakan

London: Pierre-Emerick Aubameyang terus mempamer aksi mengecewakan sejak memperbaharui kontrak dengan gaji bernilai £350,000 (RM1.89 juta) seminggu di Arsenal.

Pemain berusia 31 tahun itu gagal menjaringkan gol sepanjang lima perlawanan Liga Perdana selepas kali terakhir tewas 0-1 kepada Leicester, Ahad lalu.



Kali terakhir dia menjaringkan gol ketika mencatat kemenangan ke atas Fulham di Craven Cottage sebelum menandatangani lanjutan kontrak lumayan bersama Arsenal.

Aubameyang berjaya menjaringkan gol ketika kelabnya mencatat kemenangan ke atas Rapid Vienna pada Liga Europa namun aksinya di saingan liga sangat mengecewakan.




Kapten Gunners itu mungkin menjadi perancang sepanjang 90 minit permainan namun kegagalannya menjaringkan gol mencetuskan kebimbangan peminat.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta baru-baru ini meminta penyerang antarabangsa Gabon itu mengawal tekanan selepas menjadi pilihan utama selain memintanya menjaringkan gol.





Penyokong sudah mendesak Arteta menghentikan taktikal meletakkan Aubameyang di bahagian sayap kerana ia mengganggu prestasinya.

Bagaimanapun ia adalah posisi yang diisi olehnya sejak menyertai kelab itu pada Januari 2018.