[VIDEO] Messi cemerlang tanpa Ronaldo di Turin

TURIN: Cristiano Ronaldo terlepas pertembungan Liga Juara-Juara menentang skuad diketuai Lionel Messi, Barcelona, dua minggu selepas diuji positif COVID-19 ketika gergasi Itali itu tewas 2-0 di laman sendiri sebentar tadi.


Messi, 33, membantu Ousmane Dembele meletakkan Barca di depan selepas 15 minit permainan di Turin dan menambah gol kedua untuk dirinya menerusi penalti pada masa tambahan.

Tiga gol Alvaro Morata dibatalkan kerana ofsaid buat Juve yang bermain lima minit terakhir dengan 10 orang selepas Merih Demiral dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.





Barcelona kini teratas Kumpulan G dengan enam mata selepas dua perlawanan manakala Juventus tiga mata. Perlawanan kedua akan berlangsung di Camp Nou pada 8 Disember.

Pemain berusia 35 tahun, Ronaldo, penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan ini dengan 130 gol, jelas berang tidak dapat beraksi.




Bintang Portugal itu perlu diuji negatif 24 jam sebelum boleh bermain dalam pertembungan keenam Liga Juara-Juara berdepan bintang Argentina, Messi.

Mereka tidak bertemu sejak pemenang lima kali Ballon d’Or itu meninggalkan Real Madrid untuk ke Juventus pada 2018. – AFP