[VIDEO] Spurs kecundang di Belgium

PARIS: Jose Mourinho berkata dia seakan mahu melakukan 11 pertukaran di babak kedua selepas Tottenham Hotspur kendaliannya dikejutkan 1-0 di Royal Antwerp dalam saingan Liga Europa.


Spurs gagal mencipta sebarang peluang, dengan Gareth Bale hanya beraksi sejam sebelum dikeluarkan.

Mourinho, yang membuat empat pertukaran ketika rehat termasuk mengeluarkan Dele Alli, berkata dia tidak akan memberi lebih banyak peluang kepada pemain simpanan selepas ini.

“Jika boleh saya mahu melakukan 11 (pertukaran). Saya tidak buat pertukaran kelima kerana saya bimbang lebih teruk.




“Ketika rehat saya cuba memperbaiki keadaan, tetapi ia tidak mencukupi. Babak kedua kami lebih baik. Namun akhirnya Antwerp mendapat apa yang patut mereka perolehi.

“Saya sentiasa berfikir yang pemain-pemain berhak mendapat peluang. Kami mempunyai skuad yang besar.

“Ia peluang buat mereka untuk memanfaatkannya. Tetapi selepas malam ini, pilihan saya tidak akan semudah itu,” kata Mourinho.

Kemenangan itu melonjak Antwerp ke puncak Kumpulan J selepas menewaskan Ludogorets 2-1 minggu lalu.

Ini adalah kali pertama kelab Belgium itu beraksi di peringkat kumpulan saingan Eropah sejak kekalahan pusingan pertama Piala UEFA di tangan Newcastle pada tahun 1994.





Tuan rumah mendahului permainan menerusi Lior Refaelov pada minit ke-29.

Sementara itu AC Milan turut merakam kemenangan kedua dalam Kumpulan H selepas menundukkan Sparta 3-0.

Jaringan Brahim Diaz, Rafael Leao dan Diogo Dalot menyaksikan Milan melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada 23 perlawanan.

Arsenal turut menewaskan Dundalk dengan keputusan 3-0 di Stadium Emirates hasil jaringan Eddie Nketiah, Joe Willock dan Nicolas Pepe.

Napoli bangkit daripada kekalahan di tangan AZ Alkmaar dengan menewaskan pendahulu La Liga Real Sociedad 1-0.

Jamie Vardy menyempurnakan sepakan penalti dalam kemenangan 2-1

Leicester City ke atas AEK Athens.