Felda United, UKM FC gagal penswastaan kelab bola sepak

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan Felda United dan UKM FC gagal dalam proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Ia selepas penelitian dilakukan FAM terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.



Keputusan itu sekali gus menyebabkan Felda United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim 2021, sama ada di Liga Super atau Liga Perdana.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya membuat keputusan itu bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 sekiranya pasukan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.




Katanya, FAM mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan terbabit mendapatkan pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan dapat dijamin.

“Bagi Felda United, biarpun mereka berjaya melengkapkan proses penswastaan FC bersyarikat dan sudah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan bahawa Felda United tidak akan menyertai Liga Super atau Liga Perdana mulai musim 2021.





“Susulan itu, pihak pengurusan baharu Felda United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021.

“Bagi UKM FC pula, pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

“Susulan itu juga, pihak pengurusan baharu UKM FC iaitu Varsity Boys Sdn Bhd mendapatkan pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM turut mendapati bahawa kedudukan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd melalui pelabur baharu itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021,” kata Stuart dalam satu kenyataan, hari ini.