Tok Gajah sedia ‘bedil’ Lang Merah

KUANTAN: Juara empat kali, Pahang sedia berdepan Kedah yang merupakan juara lima kali Piala Malaysia dalam aksi kalah mati di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.

Bermain di laman lawan, cabaran getir pasti menanti skuad Tok Gajah walaupun berjaya menewaskan skuad Lang Merah 2-1 dalam saingan Liga Super musim ini di Stadium Darul Makmur.


Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad Tok Gajah perlu melipatgandakan usaha serta fokus dalam sesi latihan sebelum bertandang ke Stadium Darul Aman.

“Saya harap Dollah Salleh membuat persediaan rapi dan menggunakan masa yang ada untuk memantapkan persefahaman anak buahnya,” katanya semalam.





Mengulas kecederaan yang sering membelenggu skuad Tok Gajah, Mohammed Suffian yakin tempoh rehat yang panjang telah memberi peluang bagi proses penyembuhan pemain.

“Kunci utama kekuatan Pahang apabila Dollah dapat menurunkan kesebelasan. pemain yang bebas dari kecederaan dan inilah yang saya harapkan,” katanya.




Menurutnya, kecederaan lima pemain termasuk ‘orang besi’ Tok Gajah, Dickson Nwakamae semakin pulih dan dijangka dapat diturunkan nanti.

Beliau berharap skuad Tok Gajah dapat membentuk persefahaman lebih jitu dan percaturan Dollah dapat diterjemahkan oleh kesebelasan utama pemain Pahang ketika di atas padang. – Utusan Malaysia