Tunggu kejutan UiTM FC – Afif

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejutan dalam Liga Super musim ini, UiTM FC kini menyimpan cita-cita besar untuk meneruskan momentum dan berusaha memberi impak sama dalam saingan Piala Malaysia.



Tonggak pertahanannya, Muhamad Afif Asyraf mengakui mereka optimis mampu melakar kejutan sekalipun format berbeza ditampilkan apabila saingan hanya akan berlangsung secara kalah mati.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu tidak memandang ringan kemampuan Kelantan dan sudah bersedia dengan cabaran yang akan diberikan oleh pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana itu.





“Memandangkan kami harus beraksi di venue luar, saya merasakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu dapat memberikan sesuatu kepada kami untuk kami cuba lakar kejutan mara ke suku akhir.

“Kami sedar dengan prestasi Kelantan yang semakin meningkat khususnya selepas mereka mempunyai pemilik baharu, Norizam Tukiman. Namun saya rasa perlawanan kali ini lebih berbeza dengan format kalah mati, jadi apa sahaja boleh berlaku.

“Mahu atau tidak, memang kami kena bagi lebih 100 peratus di atas padang dan saya percaya kami semua tidak akan mengambil mudah perlawanan itu nanti,” katanya.

Dalam masa sama, Afif mengakui skuad The Red Warriors (TRW) itu memiliki sedikit kelebihan daripada segi persediaan memandangkan mereka dapat berlatih seperti biasa berbanding UiTM FC yang ‘tersekat’ susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).




“Memang Kelantan lebih bernasib baik apabila mereka dapat berlatih dengan normal kerana di Kota Bharu tidak dilaksanakan PKPB berbanding dengan kami di sini. Tetapi saya rasa semua pemain sudah tahu apa yang perlu dibuat tidak kira macam mana kami berlatih pun.

“Saya rasa kami tiada masalah daripada segi latihan walaupun sekarang kena berlatih ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ketat kerana pemain semua sudah serasi dan kita boleh fokus kepada taktikal yang diberikan oleh jurulatih.

“Sebelum ini kami sempat berlatih di Seremban dalam beberapa hari sebelum kami kembali berlatih di Lembah Klang. Jadi tiada masalah untuk kami memberi cabaran sengit kepada Kelantan nanti,” katanya.