FAM cadang kem latihan Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Kem latihan skuad Harimau Malaya yang dirancang pada hujung bulan ini bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.



Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, barisan kejurulatihan kebangsaan ada mencadangkan untuk diadakan latihan pusat sebaik saingan Piala Malaysia berakhir pada 22 November ini.

Katanya, bentuk latihan yang dicadangkan hanyalah bersifat santai dan dijalankan dalam tempoh yang pendek selepas setahun tidak dikumpulkan secara bersama ekoran ketiadaan aksi antarabangsa dengan kali terakhir anak buah Tan Cheng Hoe bersama pada November tahun lalu.

“Ada perbincangan dalaman untuk adakan mungkin kem latihan pendek disebabkan kerana tak ada tugasan antarabangsa membabitkan pasukan negara sepanjang tahun dari tahun lepas.

“Ini bukan macam latihan penuh tetapi ia macam ‘gathering’ antara pemain kebangsaan kita dan ia mungkin kem yang pendek.

“Tetapi kita juga peka kepada status Covid-19 pada ketika ini dan perbincangan (cadangan kem latihan) itu hanya kita nak lihat beberapa pilihan dan idea.





“Jika boleh dilaksanakan dan, jikalau ada masa mungkin (diadakan latihan) pada hujung November nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kalender antarabangsa sepanjang tahun ini khususnya membabitkan aksi skuad Harimau Malaya terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 yang menyaksikan perlawanan ditunda ke tahun hadapan.

Antaranya adalah Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya bersambung pada Oktober lalu namun ditunda ke Mac tahun depan, dengan Malaysia ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan G.




Malah, saingan Piala AFF yang dijadualkan Disember ini turut ditangguhkan dengan kemungkinan dilangsungkan pada April depan.

Menurut Stuart lagi, begitupun status latihan pusat itu bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 di negara ini.

“Kalau kes dan status semasa nanti nampak ‘OK’, kita mungkin boleh laksanakan satu latihan buat skuad negara. Tetapi buat masa ini ia hanya perancangan dan tak ada apa-apa keputusan akhir lagi.

“Kita pun masih peka dengan negeri-negeri dan zon-zon yang terbabit dengan Covid-19. Sukar kita nak tentukan sekarang, sebab bila-bila masa kawasan hijau boleh tukar jadi kawasan merah. Apapun ia belum muktamad lagi,” katanya.