Skuad Selangor 1995 tuntut tanah dijanjikan kerajaan negeri

Skuad Selangor yang menjuarai Piala Malaysia pada 1995 menuntut sebidang tanah yang dijanjikan kerajaan negeri itu.

Selangor menewaskan Pahang 1-0 hasil jaringan emas David Mitchell dalam final Piala Malaysia 1995 dan dikhabarkan setiap pemain dan pegawai skuad Gergasi Merah itu dijanjikan anugerah sebidang tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor susulan menamatkan penantian sembilan tahun itu.



Genap 25 tahun selepas kejayaan berkenaan, kapten Selangor 1995, Ismail Ibrahim, mendedahkan dalam satu sidang media yang disiarkan Astro Arena hari ini bahawa pemberian tanah anugerah itu masih belum diterima mereka sehingga kini.

“Pada tarikh hari ini, 25 tahun lalu tanggal 11 November 1995, pasukan Selangor telah berjaya menjulang Piala Malaysia kali ke-28 setelah menanti selama sembilan tahun untuk menjuarai piala keagungan bola sepak negara itu.





“Pada malam sambutan kejayaan menjuarai Piala Malaysia bertarikh 15 November 1995 di Kelana Jaya telah diumumkan mengenai penganugerahan sebidang tanah kepada setiap pemain dan pegawai pasukan Selangor yang terbabit dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1995 dengan menumpaskan Pahang 1-0.

“Kami difahamkan bahawa pengumuman tersebut dibuat hasil daripada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada pagi itu.





“Kami selaku pemain pada ketika itu merupakan pihak yang menerima ganjaran tersebut manakala pengurus pasukan pada ketika itu, Datuk Aini Taib, merupakan individu yang diamanahkan untuk menguruskan anugerah tersebut bagi pihak kami.

“Tetapi anugerah tersebut masih belum kami terima sehingga kini,” katanya. – Stadiumastro