Dibelasah Sepanyol, Penyokong Jerman mahu Loew dipecat

Berlin: Penyokong Jerman mahu memberikan kad merah kepada jurulatih skuad kebangsaan, Joachim Loew dengan bekas pemain juga mahu pengendali berusia 60 tahun itu diketepikan berikutan kekalahan memalukan ketika menentang Sepanyol.



Skuad kendalian Loew dimalukan dengan kekalahan 0-6 ketika menentang Sepanyol dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.

Ia adalah kekalahan terbesar Jerman dalam aksi kompetitif, selepas kalah 0-6 kepada Austria dalam perlawanan persahabatan pada 1931.





Loew mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Fritz Keller di Munich selepas perlawanan itu namun ketika kontraknya berbaki lagi dua tahun, beliau dijangka terus melatih Jerman sehingga Euro Jun tahun depan.




Bagaimanapun, dalam undian yang dilakukan SID, sebanyak 84 peratus daripada 1,100 penyokong Jerman mahu Loew bersama pengarah pasukan Oliver Bierhoff disingkirkan.

Hanya 13.3 peratus masih yakin dengan kemampuan gandingan itu yang membawa Jerman muncul juara Piala Dunia 2014.