Cheng Hoe setuju serap Tuck, Cabrera

KUALA LUMPUR: Faktor usia dianggap bukan menjadi halangan terbesar buat Lee Tuck dan Gonzalo Cabrera untuk diserap sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilihat lebih mementingkan prestasi pemain terbabit dalam menyumbang sesuatu yang positif buat skuad kebangsaan.



Malah, Cheng Hoe tidak menafikan dua pemain itu antara yang boleh diberi peluang untuk bersama skuad kebangsaan berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

“Kalau kita lihat pemain naturalisasi di mana-mana negara pun adalah sementara sahaja, yang mana matlamatnya untuk menguatkan pasukan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita masih memerlukan bakat anak tempatan juga.

“Kalau pemain itu nampak lebih baik daripada pemain tempatan kita akan bagi mereka peluang. Sudah tentu usia satu faktor besar juga, tapi kadang-kadang terpulang kepada individu itu sendiri.




“Seperti Zlatan Ibrahimovic (39 tahun) masih berbisa bersama AC Milan, dan Cristiano Ronaldo, walaupun sudah berusia 35 tahun tapi masih lagi menjadi penyerang yang berbahaya.

“Namun kita perlu lihat juga sama ada mereka (Tuck dan Cabrera) mahu mewakili pasukan kebangsaan atau tidak. Tidak dinafikan Cabrera beraksi dengan baik bersama JDT dan Lee Tuck bersama TFC,” katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Tuck, 32, dan Cabrera, 31, berada dalam pemantauan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai calon pemain naturalisasi selepas mereka bakal memenuhi syarat lima tahun beraksi di Liga M musim depan.





Selain itu, Cheng Hoe tetap masih mengharapkan akan muncul pemain tempatan yang akan menyinar dalam masa terdekat, terutama bagi posisi pertahanan tengah.

“Bahagian serangan memang kita masih harapkan penyerang tempatan seperti Shahrel Fikri (Fauzi), Syafiq Ahmad dan selepas ini ada Luqman Hakim Shamsudin.

“Kalau kita lihat bahagian tengah atau sayap kita ada pemain yang menyinar macam Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan beberapa pemain lain,” katanya.