Shilton belum maafkan Maradona

LONDON: Peter Shilton seringkali enggan bersalaman dengan Diego Maradona.

Ia susulan bekas penjaga gol berkenaan ditewaskan oleh jaringan ‘Hand of God’ Maradona yang pernah menjadi punca penyingkiran England daripada Piala Dunia 1986 selepas tewas 2-1 di Mexico City.



Dalam satu temubual pada awal tahun ini, Shilton yang mempunyai 125 kaps berkata: “Seluruh pasukan England kecewa kerana penipuannya. Dia tidak melepasi saya, dia menumbuk bola dengan tangannya.

“Orang ramai ketika ini bercakap mengenai VAR tetapi ia mungkin sesuatu yang bijak untuk kami pada ketika itu. Dia mengakuinya dengan berkata ia adalah ‘Hand of God’ tetapi dia tidak memohon maaf atau menunjukkan sebarang penyesalan.




“Sikapnya menunjukkan kenapa ada permusuhan. Kami sentiasa membuka ruang tetapi dia tidak mahu memohon maaf dan saya tidak akan bersalaman dengannya. Dia seorang pemain yang terhebat dalam sejarah tetapi saya tidak menghormatinya sebagai seorang ahli sukan.”




Maradona pernah memohon maaf dan dalam satu temuramah eksklusif bersama The Sun, dia memberitahu Tom Wells: “Sekiranya saya boleh memohon maaf, kembali ke zaman silam dan mengubah sejarah, saya akan melakukannya.

“Tetapi gol tetap gol, Argentina muncul selaku juara dunia dan saya adalah pemain terbaik dunia. Saya tidak boleh mengubah sejarah. Apa yang boleh saya lakukan adalah meneruskan kelangsungan kehidupan.”

Tengah malam tadi, Maradona meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada usia 60 tahun. – AGENSI