MFL tak kira tajaan besar atau kecil

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia menerima mana-mana pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang berminat menaja Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan badan pengelola Liga M itu juga sedia berunding tanpa mengira sama ada jumlah tajaan itu besar atau kecil.


“Selama ini pun kita terbuka dengan semua pihak, mungkin beberapa pihak sebelum ini salah faham bahawa MFL hanya ambil jumlah tajaan yang besar sahaja.

“Tidak… kita akan menerima siapa sahaja yang nak menaja dan memulangkan kembali ROI (pulangan pelaburan) kepada mereka walaupun jumlah yang tak berapa besar.

“Ia kerana ada banyak slot produk mereka yang kita boleh masukkan dalam stadium, di billboard (papan iklan besar), papan iklan elektronik dan sebagainya,” katanya kepada BH Sukan.





Sebelum ini, MFL mengesahkan kehilangan dua penaja iaitu CIMB Bank dan Air Asia yang menarik diri daripada menaja Liga M musim depan.

Selain itu, penaja utama Telekom Malaysia (TM) pula dilaporkan akan mengurangkan jumlah tajaan mereka dari RM30 juta kepada RM15 semusim.

Situasi itu didakwa terjadi kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia.





Malah, terdapat juga spekulasi yang mengaitkan Berjaya Corporation Bhd dan Maybank bakal menaja Liga M.

Ab Ghani bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu dan hanya menjelaskan pihaknya sedang berunding dan mencari penaja.

“Saya hanya akan buat kenyataan apabila tandatangan perjanjian dengan penaja baharu. Sekarang ini kita sedang berunding dan sedang mencari,” katanya.