Steve Hodge tidak jual jersi “Hand of God”

LONDON: Bekas pemain tengah England Steve Hodge menegaskan jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan dua gol menentang The Three Lions pada suku akhir Piala Dunia 1986 bukan untuk dijual.

Hodge bertukar jersi dengan Maradona, yang meninggal dunia pada usia 60 tahun minggu lalu, selepas tamat perlawanan yang menyaksikan legenda Argentina itu menjaringkan gol menggunakan tangan atau lebih dikenali sebagai ‘Hand of God’ disusuli jaringan kedua menakjubkan bagi membantu kemenangan 2-1 pasukannya.


Jersi itu kini dipamerkan di Muzium Bolasepak Kebangsaan di Manchester.

Hodge berkata dia mendapat banyak pertanyaan tentang jersi itu sejak beberapa hari lalu dan menolak dakwaan dia mahukan harga tinggi untuk menjualnya.

“Saya menyimpannya 34 tahun dan tidak pernah berniat menjualnya. Saya suka memilikinya, ia mempunyai nilai sentimental yang hebat.’

“Pintu rumah saya diketuk hampir setiap hari dan banyak stesen TV dan radio menghubungi saya malah juga dari luar negara.





“Saya menjadi tidak selesa. Saya ada melihat kenyataan di Internet yang mendakwa saya mahu satu juta atau dua juta pound dengan menjualnya.

“Ia tidak hormati saya dan sama sekali salah. Ia bukan untuk dijual dan saya tidak akan cuba menjualnya,” kata Hodge, 58.

Hodge mengagumi kepintaran dimiliki salah seorang pemain terhebat dunia itu dan dia tidak pernah menyalahkan Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan.




“Saya tidak pernah menyalahkan dia walaupun sekali. Sesiapa yang bermain bola sepak tahu perlu sentiasa bekerja keras pada setiap masa.

“Seluruh dunia menghormati dan menghargai kepintaran dimilikinya. Perlawanan itu tidak akan dilupakan dalam sejarah bola sepak,” katanya. – AFP