Ozil goyang kaki hidup mewah

London: Bintang Arsenal, Mesut Ozil tahu bagaimana untuk menjalani kehidupan yang cukup mewah selain berkongsi kekayaannya itu bersama golongan kurang bernasib baik.

Meskipun diketepikan Arsenal apabila namanya tidak disenaraikan untuk aksi liga atau pertandingan lain, kehidupan mewah Ozil tidak terjejas.


Perancang Jerman itu yang enggan memotong gajinya sekitar £350,000 (RM1.89 juta) seminggu ketika pandemik Covid-19 sebelum ini, mempunyai kediaman mewah bernilai £10 juta (RM54.2 juta) di Utara London.





Dia juga mempunyai deretan kereta mewah dan rata-ratanya jenama Mercedes bernilai £800,000 (RM4.3 juta).

Ozil juga mempunyai hobi mengumpul koleksi kasut sehingga rumahnya mempunyai sebuah bilik khas untuk meletakkan kasut dan aksesori lain.

Antara koleksi kasut dimilikinya adalah jenama Adidas Yeezy yang dianggarkan bernilai sekitar £1,400 (RM7,600) untuk lapan pasang kasut.





Bagaimanapun di sebalik kemewahan itu, dia juga sering melakukan kerja-kerja amal termasuk membayar kos pembedahan kanak-kanak tertentu.

Ozil juga memberi sumbangan makanan kepada 100,000 golongan kurang bernasib baik di 16 kem pelarian di Turki dan Syria.