Skuad Projek FAM-MSN diharap lahirkan generasi ’emas’

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama membentuk skuad ala ‘Harimau Muda’ yang bakal berentap dalam Liga Perdana musim depan.

Dikenali sebagai skuad Projek FAM-MSN, pasukan itu membariskan pemain bawah 20 tahun (B-20).




Ia antara usaha FAM dan MSN mencipta laluan kerjaya buat produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Sebagai permulaan, 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, Piala Belia, Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari ini.

Bekas pemain kebangsaan dan jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah dilantik sebagai pengendali pasukan ke-11 dalam Liga Perdana itu.





Majlis pengumuman skuad diadakan di Arena Futsal FAM di sini hari ini disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin.

“Program ini adalah platform kesinambungan pembangunan pemain bagi memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” kata Reezal.

Bagi FAM, kerjasama dengan MSN menghidupkan semula persekitaran yang pernah melahirkan pemain teras skuad ’emas’ Malaysia yang menjuarai SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010.

“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga, FAM mengambil kira ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa disediakan sebagai nilai tambah,” kata Hamidin.





Generasi terbaik lepasan NFDP yang berjaya menempatkan diri ke Liga Super dan Perdana boleh diserap dalam skuad projek secara pinjaman, tertakluk kepada prestasi serta persetujuan di antara majikan mereka dan pengurusan skuad projek.

Sekalipun ini bukan skuad kebangsaan sebenar, kelompok pemain peringkat umur yang cemerlang akan dijadikan teras pasukan negara bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021.

Mereka juga menjadi calon pemain untuk membarisi aksi kelayakan AFC B-23 2022, Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan SEA Kemboja 2023 dan kelayakan AFC B-23 2024 serta saingan peringkat AFF. – Utusan