Gol sendiri Aubameyang tambah derita Arsenal

LONDON: Arsenal mengalami kekalahan keempat berturut-turut di laman sendiri buat pertama kali sejak 1959 apabila jaringan sendiri Pierre-Emerick Aubameyang memberikan kemenangan 1-0 buat Burnley awal pagi tadi.

Skuad Gunners sekali lagi dikecewakan faktor kurang berdisplin apabila Granit Xhaka dibuang padang sejurus sebelum sejam permainan yang memberikan kelebihan buat Burnley.



Aubameyang yang masih menanti gol pertama liga dalam permainan terbuka sejak menandatangani perjanjian mewah tiga tahun pada September, meledak gol yang salah ketika cuba mengeluarkan bola sepakan sudut Ashley Westwood 17 minit sebelum tamat.

Kemenangan membolehkan Burnley keluar daripada zon penyingkiran manakala Arsenal di tangga ke-15, hanya lima mata di atas tiga pasukan terbawah.





“Kami perlu menjaringkan gol, itulah yang kami hilang. Apa yang kami lakukan dan apa yang Burnley lakukan, tidak boleh dibandingkan,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Pengendali dari Sepanyol itu sebelum ini dipuji kerana mendatangkan impak segera dengan membawa Arsenal memenangi Piala FA musim lalu, hanya lapan bulan memegang jawatan penting itu buat kali pertama.





Bagaimanapun Arteta kini berdepan tekanan besar ketika tiada tanda dia boleh menukar keadaan untuk berdepan Southampton, Everton, Manchester City dalam Piala Liga dan Chelsea dalam empat perlawanan berikutnya. – AFP