Kemenangan ke-400 dalam karier Ronaldo

GENOA – Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama pada abad ke-21 dalam sejarah lima liga terbaik di benua Eropah apabila berjaya meraih kemenangan peribadi yang ke-400 bersama kelabnya.




Kecemerlangan itu hadir selepas Ronaldo, 35, berjaya menyempurnakan dua sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan 3-1 buat Juventus ke atas Genoa pada aksi Serie A di Stadium Luigi Ferraris awal pagi semalam.

Lebih manis, kejayaan tersebut diraih dalam penampilan ke-100 Ronaldo bersama Juventus sejak berhijrah menyertai gergasi Itali itu daripada Real Madrid pada 2018.

“Objektif utama ialah kemenangan dan kemudian barulah saya boleh memikirkan mengenai pencapaian individu.





“Saya tidak akan berpuas hati sekiranya gagal mencapai objektif utama Juventus iaitu memenangi gelaran Scudetto dan Liga Juara-Juara musim ini,” kata Ronaldo.

Dua gol Ronaldo dan satu jaringan daripada Paulo Dybala menyaksikan skuad kendalian Andrea Pirlo itu naik ke tangga ketiga dengan 23 mata selepas 11 perlawanan, empat mata sahaja lagi untuk menyamai pendahulu Serie A, AC Milan.





Sebagai rekod, penyerang prolifik itu mendapat gelaran sebagai ‘mesin gol’ kerana ketajaman penyudahnya.

Ronaldo juga telah memenangi pelbagai kejayaan dalam tiga daripada lima liga terbaik Eropah bersama Manchester United di Liga Perdana Inggeris (England), Real di La Liga (Sepanyol) dan kini bersama Juventus di Serie A, Itali.

Buat masa ini, hanya seorang pemain yang dilihat realistik untuk mengejar rekod 400 kemenangan dalam karier Ronaldo iaitu seteru utamanya, Lionel Messi apabila sudah memenangi 365 perlawanan bersama Barcelona. – AGENSI