Ronaldo, Messi dan Maradona barisi pasukan impian dunia

PARIS: Sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo teruja dan bangga apabila tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik Dunia Sepanjang Zaman oleh France Football.

Majalah Perancis itu yang juga penganjur Ballon d’ Or menyenaraikan kesebelasan impian itu semalam dengan bintang Juventus berkenaan tersenarai bersama Lionel Messi, Pele dan Diego Maradona yang meninggal dunia bulan lalu.


Turut diberi penghormatan bekas bintang Brazil Ronaldo; bekas kapten Milan Paolo Maldini; legenda Bayern Munich Franz Beckenbauer; Lothar Matthaus; Cafu; Xavi dan penjaga gol Lev Yashin melengkapkan senarai impian itu.

Ronaldo yang juga pemenang lima kali Ballon d’Or dalam reaksinya di Twitter berkata: “Saya teruja dan bangga menjadi sebahagian daripada kesebelasan terbaik sepanjang zaman oleh France Football.




“Pasukan impian yang sangat mengagumkan. Saya amat hormati mereka semua dan saya amat bangga diletakkan dalam kalangan mereka. Terima kasih!”

Ronaldo yang juga penjaring terbanyak Real Madrid menjulang lima trofi Liga Juara-Juara, tiga trofi Liga Perdana, menjuarai Euro 2016, dua gelaran Serie A dan cemerlang di La Liga.





Ronaldo meraikan penampilan ke-100 bersama Juventus dengan dua jaringan ketika menewaskan Genoa 3-1, kelmarin.

Bukan itu sahaja, Ronaldo yang sudah berusia 35 tahun juga muncul pemain pertama meraih 400 kemenangan dalam saingan lima liga utama Eropah abad ini. – AGENSI