Selangor bukan pencabar utama JDT musim depan

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menyenaraikan Selangor sebagai pencabar utama mereka untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bercakap ketika sesi temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta, semalam, sebaliknya, Tunku Ismail menganggap Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Pahang sebagai pencabar skuad Harimau Selatan.



“Pertama sekali saya rasa Kedah. Kedah pasukan yang sukar untuk lawan. Mereka bermain bola sepak yang sangat baik, dan mereka konsisten. Walau apa pun masalah yang berlaku di Kedah, tapi pasukan Kedah sentiasa mantap.

“Kedua Terengganu, kalau kita tengok masa kita pergi Terengganu, kita nyaris kalah. Mereka bermain bola sepak yang baik, ada fasiliti yang bagus, pemain berdisiplin, jurulatih pun saya suka, jurulatih Terengganu sangat bagus.

“Ketiga, saya rasa Pahang sebab JDT tiada rekod bagus dengan Pahang, macam 50-50, ada masa Pahang menang dan ada masa JDT menang. Pahang sentiasa menjadi lawan yang sukar untuk JDT, setiap tahun…tak pernah senang lawan Pahang,” katanya.





Sebelum ini, beberapa pihak menjangkakan Selangor mampu menjadi antara pencabar utama JDT berdasarkan usaha mereka dalam mempersiapkan pasukan termasuk mengikat jurulatih dari Jerman dan membawa masuk beberapa pemain baharu.

Ketika ditanya mengapa tidak menyenaraikan Selangor, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata tahap Selangor lebih tinggi daripada JDT.

Malah, beliau turut menjelaskan tiada masalah dengan Selangor, namun mengakui ada masalah dengan beberapa individu dalam pengurusan kelab itu.





“Dia (Selangor) punya tahap lebih tinggi daripada saya. Jadi saya ambil tahap yang seakan macam saya juga. Saya tak boleh lawan dengan orang lama dalam industri bola sepak, saya kena tahu saya ini pendatang baru.

“Saya tiada masalah dengan Selangor, saya tiada masalah dengan Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah), dia pun tahu, dia pun berhubung dengan saya. Kami rapat, tiada masalah antara satu sama lain.

“Tapi mungkin dengan dua, tiga individu yang ada dalam pengurusan. Cara mereka urus mungkin pada pandangan saya ada salah sedikit, itu saja. Tapi itu peribadi antara saya dengan dia. Bukan antara saya dengan Selangor dan penyokong Selangor,” katanya.