FAM harap Kementerian Kewangan sokong GLC jadi rakan penaja

KUALA LUMPUR: Sokongan semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan cukup penting dalam memastikan kelangsungan industri bola sepak negara, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.




Katanya, badan induk itu mengharapkan sokongan pihak berkenaan dalam menjadi rakan penaja kepada FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Industri bola sepak tempatan yang menanggung kerugian gara-gara impak penularan COVID-19 harus bangkit dengan bantuan semua pihak berkepentingan, terutama kerajaan Persekutuan.




“Besarlah harapan kami andainya pihak kerajaan membantu bukan sahaja dari segi membenarkan penonton kembali memeriahkan suasana liga, tetapi juga dari sudut menghidupkan industri bola sepak secara keseluruhan termasuk industri hiliran,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semalam, Hamidin yang juga juga Presiden MFL membincangkan hala tuju bola sepak negara dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kementerian Kewangan, Putrajaya.





Pada perjumpaan itu, Hamidin mengambil kesempatan memberi taklimat kepada Tengku Zafrul mengenai keadaan semasa serta cabaran bola sepak menangani krisis dan implikasi kewangan gara-gara pandemik COVID-19 selain perancangan FAM dan MFL menghadapi musim 2021.

Hamidin berkata dalam menguruskan bola sepak masa kini yang menggabungkan ciri-ciri hiburan dengan nilai komersial, ia menuntut bukan sahaja sokongan dari sudut moral tetapi juga material agar FAM kekal berdaya saing di pentas antarabangsa.- BERNAMA