Sumareh jadi rebutan

Kuala Lumpur: Ke manakah destinasi seterusnya buat tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh selepas ini?

Persoalan itu terus menjadi tanda tanya selepas pemain sayap kelahiran Gambia itu kelmarin dilaporkan bakal meninggalkan kelab Thailand, Police Tero yang tidak akan menyambung kontraknya lagi.


Ia sekali gus menyaksikan Sumareh hanya mampu bertahan selama tiga bulan di Liga Thailand selepas berhijrah dari Pahang pada September lalu.

Bagaimanapun, difahamkan kemungkinan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjadi majikan baharunya musim depan seperti mana luahan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu program bersama televisyen swasta dua minggu lalu.

Dalam program itu, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mengakui akan berjumpa dan meminta restu dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sekiranya mahu mendapatkan khidmat pemain itu.





“Jika Sumareh nak balik saya kena berbual dengan Pahang dulu. Saya pun tadi sudah tanya Tengku Muda Pahang (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah).”Kalau dia bersetuju saya akan teruskan. Jika dia tak setuju saya tak buat apa-apa. Saya minta hormat, minta restu dari dia kalau boleh atau tidak,” kata Tunku Ismail.

Beliau berkata, jika berjaya membawa masuk Sumareh, ia akan menyaksikan persaingan sengit di bahagian sayap skuad juara tujuh kali berturut-turut Liga Super itu.





“Jadi (bahagian) sayap kanan kemungkinan besar boleh jadi Safawi Rasid, Sumareh, Arif Aiman dan bahagian kiri adalah Akhyar Rashid, Gonzalo Cabrera dan Ramadhan Saifullah.”

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai masa depan pemain naturalisasi pertama negara itu, malah ketika Arena Metro cuba mendapatkannya Sumareh gagal dihubungi. – Harian Metro