Cavani didenda, gantung tiga perlawanan

LONDON: Penyerang Manchester United Edinson Cavani digantung tiga perlawanan serta didenda 100,000 pound (RM547,077) kerana menggunakan perkataan berbaur perkauman di media sosial, umum Persatuan Bolasepak Inggeris (FA).



Pemain 33 tahun itu beraksi cemerlang ketika kemenangan di Southampton Selasa lalu, membuat umpanan untuk jaringan Bruno Fernandes sebelum meledak dua gol dalam kebangkitan 3-2.

Cavani membalas ucapan tahniah di media sosial menggunakan terma Sepanyol “negrito”.





Bintang Uruguay itu kemudian memadamkan mesej berkenaan dan memohon maaf selepas menyedari kesilapannya, sambil menyatakan dia amat menentang sebarang bentuk perkauman.

“Tulisan dimuat naik ke laman Instagram penyerang Manchester United FC itu berbaur perkauman, menghina dan mencemar nama baik sukan ini,” kata FA.





Manchester United mengeluarkan kenyataan mengatakan Cavani tidak perasan perkataannya mampu disalah tafsir dan dia meminta maaf kepada mereka yang tersinggung.

“Walaupun dia percaya yang tulisannya hanya sebagai jawapan mesra kepada ucapan tahniah kawan baiknya, dia memilih untuk tidak menentang hukuman ke atasnya sebagai tanda hormat, sekali gus menyokong usaha FA menentang perkauman dalam bola sepak,” kata kelab berkenaan. – AFP