Latihan pusat Harimau Malaya tanpa aksi pemanas badan

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berkemungkinan besar hanya akan menjalani latihan pusat pada pertengahan bulan ini tanpa membabitkan sebarang aksi persahabatan atau pemanas badan.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan ia langkah terbaik kerana enggan berdepan sebarang risiko besar terutama bagi mengelak pemain mengalami kecederaan selepas baru sahaja memasuki musim baharu.


Katanya, barisan skuad kebangsaan hanya akan memanaskan badan pada Mac menentang Bahrain dalam aksi persahabatan iaitu beberapa hari sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Belum sampai masa kita menghadapi aksi persahabatan kerana rata-rata pemain baru saja menjalani latihan pra-musim,” katanya kepada BH Sukan.

“Jadi mungkin perlawanan ini boleh menjejaskan keyakinan kita disamping boleh mengakibatkan kecederaan yang serius kerana baru masuk pra-musim dengan keadaan fizikal mereka belum benar-benar bersedia lagi.”





Skuad Harimau Malaya akan menentang Bahrain pada 19 Mac sebelum berdepan UAE bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di gelanggang lawan pada 25 Mac.

Selain itu, Cheng Hoe turut menjelaskan akan memanggil sebahagian besar pemain sudah bersama skuad kebangsaan bagi latihan pusat bulan ini kerana tidak mempunyai masa cukup menilai pemain susulan saingan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung agak singkat musim lalu.

“Kebanyakan pemain pun kita tengok tak banyak perlawanan. Jadi kita akan panggil yang sudah bersama kita dan kita juga akan panggil muka baharu untuk cuba bersama pasukan kebangsaan.




“Ia kerana pada Mac nanti kita tak ada banyak masa untuk cuba pemain baharu. Jadi Januari ini satu peluang terbaik untuk kita cuba pemain baharu sama ada mereka boleh diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan pada masa depan.

“Saya harap pemain yang akan menjalani latihan pusat ini membawa satu semangat yang baru selepas setahun kita tidak berkumpul dan membawa perkara positif ke kem latihan nanti,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara berfasa berkuat kuasa Jumaat lalu kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).