Pochettino hangatkan lagi perpindahan Messi ke PSG

PARIS: Mauricio Pochettino menegaskan “mana-mana pemain besar sentiasa dialu-alukan untuk datang ke Paris Saint-Germain (PSG)” ketika jurulatih baharu kelab gergasi Perancis itu ditanya mengenai kemungkinan perpindahan sensasi membabitkan rakan senegara, Lionel Messi.



Pengendali dari Argentina itu ditanya beberapa kali mengenai Messi pada sidang akhbar pertamanya selepas bergelar jurulatih PSG, dengan bintang Barcelona itu kini bebas untuk berbincang dengan kelab lain apabila kontraknya tamat pada Jun.





“Secara jujur, kami tidak membincangkan mengenai perkara itu. Ia tempoh yang gila buat kami, cuba menyesuaikan diri bersama kelab baharu dengan mengadakan mesyuarat, latihan, bersedia menghadapi perlawanan esok yang menjadi sasaran utama,” kata bekas jurulatih Tottenham Hotspur itu dengan perlawanan pertamanya pada awal pagi esok waktu Malaysia menentang Saint-Etienne dalam Ligue 1.

“Kami akan ada masa untuk bercakap pada masa depan, tapi mana-mana pemain besar sentiasa dialu-alukan untuk datang ke Paris Saint-Germain.”





Neymar mencetuskan khabar angin meluas apabila menyatakan keinginan untuk bergandingan dengan Messi pada musim depan, rakan sepasukan lamanya di Barcelona.

Jika ia boleh berlaku, kini ia tampak boleh direalisasikan di sini berbanding Barcelona, dengan kelab Catalan itu bergelut dalam situasi kewangan sukar selain krisis kepimpinan kelab.