Guardiola keliru SOP EPL

LONDON: Pep Guardiola berkata dia keliru dengan sebahagian peraturan COVID-19 sambil mengakui dia tidak faham kenapa ada perlawanan ditangguhkan manakala yang lain diteruskan.




Empat perlawanan Liga Perdana setakat ini ditangguhkan, termasuk kunjungan City ke Everton bulan lalu, namun pendekatan berbeza tampak diambil pada Piala FA minggu lalu.

Aston Villa dan Derby menurunkan pemain remaja untuk pertembungan pusingan ketiga itu selepas keseluruhan skuad utama diminta mengasingkan diri.

Liga Perdana minggu lalu memintab pemain mengurangkan sambutan ketika menjaringkan gol dalam usaha memperketatkan protokol COVID-19 yang kini menekankan usaha mengelak pemain bersalam dan menukar jersi.





City kini kehilangan lapan pemain berikutan ujian positif sejak Krismas.

Guardiola berkata kelab akan mengikuti protokol baharu tetapi dia berkata ia adalah tidak realistik bagi menjangkakan pemain tidak akan meraikan gol jaringan mereka.

“Semua daripada kami (yang terbabit dalam perlawanan) diuji negatif, setiap dua hari. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku – tapi seorang pemain menjaringkan gol, mereka meraikannya, saya tidak tahu sama ada dia akan berfikir ‘saya tidak boleh memeluk rakan sepasukan untuk dua, tiga saat,” katanya.





“Ada pasukan dengan empat atau lima kes dan menurunkan 10 pemain daripada pasukan bawah 23 tahun pada Piala FA. Kami ada empat atau lima, situasi sama dan kami berada di sini.

“Seorang pemain perlu mengasingkan diri dan kumpulan lain perlu meneruskannya. Jadi saya tidak tahu. Kami mengikut apa yang diberitahu kepada kelab, Liga Perdana. Kami ikut peraturan. Itulah yang sebenarnya.” – AFP