Latihan pusat skuad Harimau Malaya dibatalkan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kem latihan pusat skuad kebangsaan yang sepatutnya berlangsung bermula pada Sabtu ini hingga 26 Januari terpaksa dibatalkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).




Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

“Dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam, FAM terpaksa membatalkan latihan pusat yang dijadualkan pada 16 hingga 25 Januari.

“FAM akan mencaturkan semula pergerakan pasukan kebangsaan ke arah perlawanan kelayakan Piala Dunia Mac nanti. Bila percaturan itu sudah lengkap, kami akan umumkan kemudian,” katanya





Selain itu, Stuart menjelaskan mesyuarat EXCO FAM turut bersetuju untuk menghantar skuad bawah 19 (B-19) tahun negara ke Sukan SEA Vietnam, hujung tahun ini.

“Skuad B-19 akan menyertai kejohanan Sukan SEA Vietnam 2021 dan juga akan menjadi skuad projek atau pasukan pembangunan kebangsaan ke arah (Sukan SEA) Kemboja 2023.





“Skuad B-19 juga akan dijadikan skuad didikan kepada (kejohanan) AFC B-22 yang akan dilangsungkan tahun ini dan juga kelayakan Olimpik 2024 di Paris,” katanya.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan pengurus pasukan B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar mengakui pasukannya layak untuk bersaing merebut pingat emas di Sukan SEA Vietnam.