Persaingan dua kelab terhebat kembali bernyala

LONDON: Liverpool dan Manchester United akan bertemu pukul 12.30 pagi nanti dalam pertembungan sebagai dua pasukan teratas liga buat kali pertama sejak 1997 – persaingan antara dua pasukan terhebat di England dinyalakan semula dengan perebutan gelaran juara musim ini.

United mendahului saingan pada Tahun Baru buat kali pertama sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013 selepas melakar rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan.

The Reds pula kehilangan status selaku pendahulu selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan dan berkemungkinan boleh menjunam ke tangga kelima jika tidak bernasib baik.

Liverpool jelas kehilangan konsistensi yang ditunjukkan musim lalu dan dengan krisis kecederaan, ia membolehkan United memintas mereka meskipun memulakan musim dengan keputusan kurang memberangsangkan.



Ketibaan Bruno Fernandes juga jelas mengubah nasib United dan pemain tengah ini memenangi anugerah Pemain Terbaik Bulanan buat kali keempat, bulan lalu.

“Sayangnya, pemain yang baik untuk United. Dia pemain yang berpengaruh buat United dan terbabit dengan banyak gerakan,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.





“Saya tahu ramai yang bercakap mengenai pembabitan dengan gol yang sudah pasti satu aspek yang penting tetapi dia menjadi penghubung untuk banyak situasi lain juga.”

Namun, kredibiliti Ole Gunnar Solskjaer sering dipertikaikan memandangkan dia tidak memiliki trofi seperti Klopp mahupun Pep Guardiola, namun dia berjaya membawa United ke tahap lebih baik berbanding pengendali terdahulu.





“Beberapa tahun lalu, hanya ada dua pasukan yang memenangi liga di penghujung Oktober.”

“Tetapi kini, kita sudah menghampiri separuh liga dan kami pasukan yang lebih baik berbanding tahun lalu,” kata Solskjaer.

Jika United menjadi pasukan pertama menundukkan Liverpool di Anfield dalam tempoh empat tahun, kejuaraan liga buat kali ke-21 mungkin boleh digapai dengan tangan mereka.