Skuad Liga M belum boleh berlatih

Kuala Lumpur: Hanya pasukan bola sepak kebangsaan dibenarkan menjalani sesi latihan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata, pengumuman Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membenarkan skuad Harimau Malaya menjalani kem latihan berpusat secara kuarantin tidak membabitkan pasukan Liga Malaysia (Liga M).


Berpandukan prosedur operasi standard (SOP) PKP, katanya semua pasukan Liga M tidak dibenar mengadakan sesi latihan berpasukan malah sebarang penganjuran pertandingan termasuk saingan Liga M turut tidak dibenarkan.

“Sebenarnya keputusan ini (kebenaran skuad Harimau Malaya berlatih) tidak melibatkan saingan Liga M, cuma atas kepentingan negara keputusan ini dibuat dan ia sama sekali tidak melibatkan pasukan dan kelab berada di negeri di bawah PKP.





“Kefahaman (keperluan skuad Harimau Malaya berlatih) Menteri tinggi kerana mungkin memikirkan ini faktor negara. Pada kita (MFL) bila PKP dilaksanakan pasukan tidak boleh adakan latihan dan kita juga tidak dapat jangkakan PKP ini akan disambung atau tidak,” katanya hari ini.

Semalam, Reezal mengesahkan skuad kebangsaan dibenar mengadakan kem latihan berpusat yang pertama sejak November 2019 dengan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, dalam masa terdekat.





Skuad Harimau Malaya bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe kini semakin kesuntukan masa menjelang dua aksi getir Kumpulan G saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Mac ini.

Mohd Yusoff berkata saingan Liga M 2021 dijadual bermula 26 Februari, mungkin terjejas susulan keputusan kerajaan melaksanakan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak, bermula 22 Januari hingga 4 Februari.

“Kita nampak, sudah timbul kesukaran mengenai penjadualan liga dan kita juga tidak pasti bila pasukan-pasukan Liga M boleh dapat peluang berlatih untuk membuat persediaan rapi menghadapi musim baharu dalam tempoh PKP,” katanya.