Malaysia, UAE, Vietnam perlu berbincang pasal jadual

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berbincang dengan persatuan bola sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam bagi mendapatkan penyelesaian mengenai status aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Mac ini.


Ia susulan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi lampu hijau kepada semua pasukan dalam kempen kelayakan untuk berbincang dan memutuskan sama ada perlawanan berkenaan boleh berlangsung mengikut jadual yang dirancang atau tidak.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John bagaimanapun menjelaskan semua perlawanan kelayakan perlu dihabiskan pada Jun tahun ini.

“Jadual sudah dikeluarkan, sekarang ini negara yang terbabit boleh buat perbincangan sama ada boleh bermain atau tidak. Kalau tak boleh bermain pada Mac, pindah ke Jun sebab masing-masing mempunyai status COVID-19 yang berlainan.





“Ada sesetengah negara boleh bermain, ada yang tak boleh bermain. Jadi, kita galakkan negara yang terbabit untuk memulakan perbincangan sama ada boleh bermain atau tidak.

“Kalau tak boleh bermain pada Mac, baru kita syorkan atau kita buat keputusan mana-mana perlawanan tidak dapat dihabiskan pada Mac ini akan dimainkan secara karnival pada Jun sebab kita tak ada masa, tak boleh tangguh lagi. Jadi mesti habis pada Jun,” katanya kepada BH Sukan.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang UAE pada 25 Mac di gelanggang lawan, Vietnam (30 Mac) di Kuala Lumpur dan perlawanan terakhir Kumpulan G di Bangkok dengan Thailand (15 Jun).





Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk perlu mengharungi baki aksi kelayakan secara karnival pada Jun ini.

“Jun adalah tarikh akhir yang mana FIFA sudah mengarahkan perlu ada pertandingan. Jadi kalau mana-mana negara yang tidak dapat keluar atau bermain, mata berkenaan akan dikira batal.

“Bagaimanapun saya minta pasukan Harimau Malaya untuk bersedia jika Mac ini akan bermain. Kalau tak ada (tidak dapat bermain), akan pergi ke Jun, tapi pilihan itu kita sudah bersedia,” kata Hamidin.