Harimau Malaya dijangka mula latihan awal Februari

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan kem latihan pusat pertama Harimau Malaya akan bermula pada awal bulan depan.


Dia bagaimanapun menjelaskan tarikh rasmi kem latihan itu masih belum diputuskan kerana menunggu beberapa perkara termasuk keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Kita sedang berbincang dan mungkin dalam dua atau tiga hari ini kita akan peroleh tarikh kem latihan serta umum senarai nama pemain. Kita mungkin bermula (latihan pusat) pada awal Februari, benda itu tak boleh sahkan lagi.

“Kita pun sedang tunggu keputusan MFL, sebab itu kita pun tak boleh umumkan lagi nama pemain,” katanya kepada BH Sukan, semalam.





Mengikut perancangan awal, Cheng Hoe akan memulakan latihan pusat pada pertengahan bulan ini, namun ia terpaksa dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia bagaimanapun boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memberi lampu hijau untuk skuad Harimau Malaya mengadakan latihan pusat secara kuarantin sebagai persiapan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini

Dalam perkembangan sama, bekas pengendali Kedah itu mengakui memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 hari untuk mengadakan kem latihan pusat itu.




Menjelaskan tempoh itu sebenarnya tidak mencukupi, namun dia memahami kelab juga memerlukan pemain berkenaan untuk melakukan persiapan pra musim.

“Kita pun tak boleh lama (jalani latihan pusat) kerana pemain masih dalam fasa pra musim dan dari segi fizikal serta kecergasan mereka belum pada tahap terbaik.

“Tapi latihan ini juga penting kerana nak bentuk semula pasukan kebangsaan selepas lebih setahun tidak bersama.

“Tempoh itu (tujuh hingga 10 hari) memang tak cukup, tapi kita kena faham situasi pemain kerana mereka juga ada komitmen dengan kelab,” katanya.