Perak FC kekalkan logo baharu

IPOH: Biarpun berdepan kecaman peminat, namun Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) tidak akan menukar logo baharu Perak FC.

Naib Presidennya Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai oleh pengurusan tertinggi Perak FC.




“Penyokong ada hak mengeluarkan pandangan, kritikan dan cadangan tentang logo itu. Kita terima dengan hati yang terbuka.

“Cuma apa yang saya boleh maklumkan keputusan untuk menggunakan logo itu kekal setakat ini.





“Ia bukan kehendak saya tapi dipersetujui pengurusan tertinggi yang menerajui persatuan sebelum ini,” katanya dipetik kepada Bernama semalam.

Pada 30 Januari lalu, Perak FC memperkenalkan logo baharu itu menerusi Instagram Peraktbgmy dengan konsep ‘a new chapter begins, but the history remains’.





Logo itu menunjukkan imej seekor seladang putih di atas lapisan hitam dengan bingkai berwarna kuning, dan ramai mempertikaikan rekaan itu yang dianggap tidak kreatif.

Mengulas perubahan atau penambahbaikan terhadap logo itu, Muhammad Yadzan berkata, perkara tersebut akan dibincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

“Kita akan pertimbangkan perkara ini cuma saya minta penyokong bersabar,” katanya.