Cheng Hoe ‘pendam rindu’

PETALING JAYA: Risiko kece­deraan boleh berlaku dalam kem latihan pusat memandangkan pemain-pemain yang datang tidak bersedia se_perti tahun-tahun sebelum ini.



Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau khuatir jika perkara itu berlaku, ia akan menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pemain dan pasukan kebangsaan, tetapi juga kelab.

“Jika latihan dilaksanakan juga, mungkin risiko pemain mendapat kecederaan tinggi dan jika perkara itu berlaku, tidak ada pihak yang akan mendapat keuntungan baik kelab, pemain ataupun pasukan kebangsaan.





“Kami tidak mahu mereka mengalami kecederaan kerana menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan dalam keadaan pemain-pemain masih belum cergas sepenuhnya. Jadi ini adalah pilihan terbaik buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut perancangan awal Tan Cheng Hoe bersama FAM, beliau mahu memanggil anak-anak buahnya menjalani latihan pada 15 hingga 26 Ja­nuari namun terpaksa dibatalkan akibat peningkatan kes Covid-19 di negara ini





Meskipun rindu untuk bertemu dengan pemain-pemain selepas sudah setahun lebih tidak berkumpul bersama sejak kali terakhir pada November 2019, namun Tan Cheng Hoe tidak mahu mengambil risiko, selain bukan dalam kalendar FIFA.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang UAE pada 25 Mac di gelanggang lawan dan Vietnam (30 Mac) di Kuala Lumpur sebelum menamatkan perlawanan terakhir Kumpulan G di Bangkok berdepan Thailand (15 Jun). – Utusan