Sultan Nazrin titah adakan pertandingan cipta logo Perak FC

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar satu pertandingan mencipta logo baharu pasukan Perak FC diadakan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.


Menurutnya, baginda bertitah nasihat agar maklum balas daripada penyokong didengar, dihormati dan diberikan perhatian susulan reaksi mereka yang kurang berminat dengan logo baharu dipersetujui Perak FC sebelum ini.

Katanya, pertandingan mencipta logo Perak FC yang baharu itu akan dilancarkan malam ini menerusi media sosial Perak TBG.





“Kita akan mengadakan pertandingan logo selama kira-kira seminggu iaitu empat hari dibuka untuk pertandingan mencipta logo manakala selebihnya untuk panel mengenalpasti pemenang.

“Saya mewakili kerajaan negeri bangga dengan maklum balas daripada penyokong yang cukup mengambil berat tentang perkembangan terkini bola sepak Perak terutama berkaitan logo ini,” katanya.





Pada 30 Januari lalu, Perak FC memperkenalkan logo baharu itu menerusi Instagram ‘peraktbgmy’ dengan mengetengahkan konsep ‘a new chapter begins, but the history remains’.

Logo itu menunjukkan imej seekor seladang putih di atas lapisan hitam dengan bingkai berwarna kuning dan ramai mempertikaikan rekaan itu yang dianggap tidak kreatif.